BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 1 Mac 2010

Siapa dia Huang Senping?

Huang Senping berasal dari Fujian,China. Beliau datang ke Brunei pada 1375 semasa China diperintah oleh Dinasti Ming. Kemudian beliau berkahwin dengan Putri Ratna Dewi, puteri Sultan Muhammad Shah dan diberi gelaran Pengiran Maharaja Lela. Kita mengenalinya dengan nama Ong Sum Ping. Beliau telah membuka perkampung di Kinabatangan dan menjadi menteri(ketua) di sana.
Pada tahun 1947 Kerajaan China telah menamakan batu karang di Laut China Selatan 'Senping Reef' di atas mengenang jasa beliau terhadap Kerajaan China.
Jalan Ong Sum Ping adalah satu-satunya jalan di Brunei yang menggunakan nama Cina.

Hari Kebangsaan Brunei Darussalam

Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-26 kepada semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Khamis, 25 Februari 2010

Cerita Dongeng Rakyat - Mengapa Gajah Bermata Kecil

Pada zaman dahulu, gajah menjadi raja segala binatang kerana kegagahannya. Beberapa ekor binatang cuba beradu tenaga dengan gajah untuk menjadi raja. Badak cuba melawan gajah tetapi dia kalah. Malahan gajah melempar dan menghumbannya ke dalam sungai. Gajah melarang badak naik ke darat.

Harimau dan singa pula cuba melawannya tetapi gajah dapat menusuk leher kedua-dua binatang ini dengan gadingnya yang tajam. Semenjak hari itu singa memelihara rambut hingga panjang supaya dapat menutup luka di lehernya. Harimau melarikan diri kerana ketakutan lalu bersembunyi di dalam gua.Semenjak hari itu tiada binatang yang berani melawan gajah yang gagah itu.

" Ooooooooiiiiiiiiii! Sekarang akulah raja di rimba ini. Tiada binatang yang boleh menewaskan aku!Semuanya ku tewaskan dengan mudah! " teriak gajah dengan bongkaknya.

Semenjak hari itu, gajah sentiasa mendabik dada."Ooooooooooiiiiiiiii! Akulah binatang yang paling gagah sekali." Gajah selalu menunjuk-nunjukkan kegagahannya. Ia sering menyerang binatang-binatang kecil. Semua binatang-binatang akan lari lintang-pukang kerana takut ditusuk gajah dengan taringnya yang tajam.

"Ooooooooooooiiiiiiiiiii! Semua binatang lari melihatku!" kata gajah sambil tertawa,"Aku akan terus bergelar raja rimba!" jeritnya dengan bangga.

Pada suatu hari, gajah masuk ke kebun Orang Asli. Ia memusnahkan banyak tanaman. Ia makan tebu sepuas-puas hatinya.

Rupa-rupanya Orang Asli menunggu kedatangan gajah. Mereka menyerang gajah dengan lembing.Gajah itu pun lari lintang-pukang.

"Aku mesti selamatkan diri!" fikir gajah dengan bangganya. Rupa-rupanya Orang Asli telah memasang jerat. Gajah berlari merempuh buluh runcing yang tersembunyi di dalam belukar. Mukanya terhumban ke atas jerat yang telah dipasang itu.

"Aduh, sakitnya mataku!" teriak gajah sambil meraung kesakitan. Akibatnya kedua-dua belah matanya menjadi buta.

"OOOOOOOOOOiiiiiiiiiii! tolonglah aku!" teriak gajah tetapi semua binatang di rimba tidak mahu menolong gajah yang sombong dan ganas itu. Mereka mendiamkan diri walaupun gajah menjerit-jerit kesakitan. Mereka masih ingat akan perbuatan gajah yang zalim kepada mereka.

Suara lolongan gajah itu mengganggu ketenteraman binatang-binatang di dalam hutan itu. Akhirnya raja cacing menghampiri gajah kerana tidak sampai hati melihat gajah yang menderita kesakitan.

"Ambillah kedua-dua belah mataku," kata raja cacing lalu memberi sepasang matanya kepada gajah.

Setelah menderma matanya kepada raja rimba itu, cacing pun kembali ke dalam tanah sambil berkata kepada anaknya, "Jika kita mempunyai kelebihan, gunakanlah kelebihan itu dengan bijaksana."

Sejak hari itu, gajah dapat melihat semula kerana masih ada binatang lain yang bersimpati dengan nasibnya. Namun, gajah yang berbadan besar dan gagah itu kini mempunyai mata yang kecil kerana mata itu adalah milik cacing pada asalnya.

Cerita Dongeng Rakyat - Lagenda Mashuri

Lagenda Mahsuri dikatakan berasaskan kejadian yang benar-benar berlaku dan ia sering dipentaskan dalam teater bangsawan. Kejadian ini dikatakan berlaku semasa pemerintahan Sultan Ahmat Tajuddin Almukarram Shah di Kedah. Pada ketika itu Datuk Seri Kemajaya bertanggung jawab memerintah pulau Langkawi sebagai wakil sultan. Terdapat beberapa versi Lagenda Mahsuri yang diceritakan dan menurut versi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Lagenda Mahsuri adalah seperti berikut :-

Pada suatu hari ketika wakil sultan Kedah, Datuk Seri Kemajaya sedang berbincang mengenai hal ehwal pengurusan pulau Langkawi dibalai penghadapan. Diantara mereka yang hadir termasuklah Mahsuri anak kepada Datur Amar yang berada di balai adat bersama-sama gadis istana yang lain. Pada masa yang sama, tiga orang perwira yang baru kembali daripada pertempuran dengan pasukan Portugis di selat Melaka masuk mengadap.

Ketiga-tiga mereka adalah Kelana, Deramang anak kepada Datuk Kemajaya, and Lela. Ketiga-tiga mereka terpikat dengan keayuan wajah Mahsuri dan berusaha untuk memikat Mahsuri dengan menceritakan kejayaan yang dicapai oleh mereka, disamping menunjukkan harta rampasan yang di dapati mereka dalam pertempuran tersebut. Tidak seorangpun di antara mereka pernah melihat Mahsuri sebelum ini.

Datuk Seri Kemajaya berasa berbesar hati dengan kejayaan mereka dan memandangkan telah banyak khidmat mereka pada masa lalu menawarkan isteri kepada mereka agar mereka dapat berumahtangga. Kesemua mereka bertiga menolak dengan menyatakan mereka belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga disebabkan mereka bertiga telah jatuh hati dengan Mahsuri.

Pada satu hari ketika Mahsuri berada di serambai sambil menyayi lagu bunga tanjung, Deramang kemudian Kelana, dan diikuti Lela yang lalu dibawah serambai cuba menarik perhatian Mahsuri. Deramang kemudiannya mengambil peluang untuk mengadu domba antara Kelana dengan Lela sehingga kedua sahabat karib itu berkelahi. Deramang kemudiannya berlalu apabila menyedari kedatangan Datuk Aman. Datuk Aman mendamaikan kedua sahabat yang sedang bergaduh dan mendapati bahawa punca pergaduhan antara mereka adalah untuk memenangi hati Mahsuri.

Datuk Aman kemudian menyuruh Mahsuri memilih siapa yang dia minati antara Kelana dengan Lela. Mahsuri yang menghormati mereka berdua menyatakan dia akan menjatuhkan bunga daripada serambai dan sesiapa yang mendapat bunga tersebut akan mendapat hatinya. Mahsuri kemudiannya menjatuhkan bunga kepada Kelana yang berjaya menyambut bunga tersebut. Datuk Aman berjanji akan memilih hari yang sesuai untuk perkhawinan antara Mahsuri dengan Kelana. Kelana dan Lela kemudiannya berbaik kembali.

Selepas perkahwinan antara Kelana dan Mahsuri, Datuk Seri Kemajaya menerima perintah sultan Kedan untuk membawa angkatan tentera untuk melawan pasukan Siam yang telah menyerang Kedah dan membebaskan kota yang telah ditawan musuh. Isteri Datuk Seri Kemajaya, Mahsura, memujuk Datuk Seri Kemajaya agar memilih anaknya Deramang sebagai penggantinya ketika pemergiannya. Lela bertanggung jawab untuk mempertahankan kawasan pantai sementara Kelana pula mengiring Datuk Seri Kemajaya dengan pasukannya kemedan perjuangan. Kelana dan Mahsuri terpaksa berpisah walaupun baru berkahwin. Kelana meminta Lela, yang menganggap Mahsuri seperti kakak, agar menjaga Mahsuri.

Sebaik sahaja Datuk Seri Kemajaya dan Kelana meninggalkan pulau, Deramang, cuba sedaya upaya untuk memikat Mahsuri tetapi gagal. Oleh kerana itu, Deramang mengambil keputusan untuk memerangkap Mahsuri dengan Lela.

Deramang kemudiannya menyuruh Lela pergi kepantai dengan menyatakan terdapat kekecohan di situ. Kemudiannya, Deramang memberitahu Mahsuri bahawa suaminya telah kembali dan sekarang berada di pantai tempat Lela berada. Ketika Lela dan Mahsuri berada di tepi pantai, Deramang kemudiannya telah membawa orang kampung untuk menangkap Mahsuri dengan Lela dan mereka berdua dituduh berzina.

Memandangkan Deramang memegang tampuk pemerintahan ketika ketiadaan Datuk Seri Kemajaya, penghulu dan kaum bangsawan tidak berani membantah atau menghalang Deramang walaupun mereka tahu Mahsuri dan Lela tidak bersalah. Deramang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Mahsuri dan Lela. Mahsuri dihukum bunuh secara salang, ditikam dengan keris dikedua belah pangkal leher. Hukuman itu akan dilaksanakan di Padang Mat Sirat.

Pada masa Mahsuri akan dibunuh, ribut dan kilat sambung-menyambung dilangit. Mahsuri kemudiannya menyumpah penduduk Mahsuri bahawa mereka tidak akan aman dan pulau Langkawi akan jadi padang jarak padang terkukur selama tujuh generasi kerana membenarkan ketidakadilan ini berlaku. Apabila Mahsuri ditikam dengan keris oleh Deramang, darah putih memancut keluar sebagai tanda kesucian Mahsuri.

Ketika Deramang hendak menikam Lela, pasukan perwira yang diketuai oleh Datuk Seri Kemajaya sampai menyebabkan Deramang melarikan diri. Apabila sampai ketempat hukuman dilaksanakan, Datuk Seri Kemajaya, Kelana dan mereka yang lain terkejut apabila melihat mayat Mahsuri terkapar disitu. Suasana gembira diatas kejayaan mereka mengalahkan musuh yang menyelubungi rombongan itu kini bertukar menjadi pilu.

Lela kemudiannya menceritakan apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan kepada kematian Mahsuri. Kelana kemudiannya terus memburu Deramang untuk membalas dendam. Selepas pergaduhan sengit Kelana berjaya membunuh Deramang dan dengan itu membalas dendam keatas kematian isterinya.

Datuk Seri Kemajaya kesal diatas kematian Mahsuri, dan kerana melantik Deramang sebagai pengganti semasa ketiadaannya di Langkawi menawarkan kepada Kelana gadis lain sebagai pengganti. Kelana menolak tawaran tersebut dan sebaliknya pergi meninggalkan Pulau Langkawi setelah bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya lagi kembali.

Selepas kematian Mahsuri, Mahsuri dianggap sebagai keramat dan tidak lama angkatan tentera Siam menyerang menyebabkan pulau Langkawi terbiar, dipercayai akibat sumpahan Mahsuri.

Cerita Dongeng Rakyat - Si Tanggang

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.

Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.

“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira.

Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai.

Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.


“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.

“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.

“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.

Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.

“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.

“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.

“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.

Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.

Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”

Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.

Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

Cerita Dongeng Rakyat- Batu Belah Batu Bertangkup

Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua ajaib. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung.

Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung.

Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.

Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.