BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 25 Februari 2010

Cerita Dongeng Rakyat - Mengapa Gajah Bermata Kecil

Pada zaman dahulu, gajah menjadi raja segala binatang kerana kegagahannya. Beberapa ekor binatang cuba beradu tenaga dengan gajah untuk menjadi raja. Badak cuba melawan gajah tetapi dia kalah. Malahan gajah melempar dan menghumbannya ke dalam sungai. Gajah melarang badak naik ke darat.

Harimau dan singa pula cuba melawannya tetapi gajah dapat menusuk leher kedua-dua binatang ini dengan gadingnya yang tajam. Semenjak hari itu singa memelihara rambut hingga panjang supaya dapat menutup luka di lehernya. Harimau melarikan diri kerana ketakutan lalu bersembunyi di dalam gua.Semenjak hari itu tiada binatang yang berani melawan gajah yang gagah itu.

" Ooooooooiiiiiiiiii! Sekarang akulah raja di rimba ini. Tiada binatang yang boleh menewaskan aku!Semuanya ku tewaskan dengan mudah! " teriak gajah dengan bongkaknya.

Semenjak hari itu, gajah sentiasa mendabik dada."Ooooooooooiiiiiiiii! Akulah binatang yang paling gagah sekali." Gajah selalu menunjuk-nunjukkan kegagahannya. Ia sering menyerang binatang-binatang kecil. Semua binatang-binatang akan lari lintang-pukang kerana takut ditusuk gajah dengan taringnya yang tajam.

"Ooooooooooooiiiiiiiiiii! Semua binatang lari melihatku!" kata gajah sambil tertawa,"Aku akan terus bergelar raja rimba!" jeritnya dengan bangga.

Pada suatu hari, gajah masuk ke kebun Orang Asli. Ia memusnahkan banyak tanaman. Ia makan tebu sepuas-puas hatinya.

Rupa-rupanya Orang Asli menunggu kedatangan gajah. Mereka menyerang gajah dengan lembing.Gajah itu pun lari lintang-pukang.

"Aku mesti selamatkan diri!" fikir gajah dengan bangganya. Rupa-rupanya Orang Asli telah memasang jerat. Gajah berlari merempuh buluh runcing yang tersembunyi di dalam belukar. Mukanya terhumban ke atas jerat yang telah dipasang itu.

"Aduh, sakitnya mataku!" teriak gajah sambil meraung kesakitan. Akibatnya kedua-dua belah matanya menjadi buta.

"OOOOOOOOOOiiiiiiiiiii! tolonglah aku!" teriak gajah tetapi semua binatang di rimba tidak mahu menolong gajah yang sombong dan ganas itu. Mereka mendiamkan diri walaupun gajah menjerit-jerit kesakitan. Mereka masih ingat akan perbuatan gajah yang zalim kepada mereka.

Suara lolongan gajah itu mengganggu ketenteraman binatang-binatang di dalam hutan itu. Akhirnya raja cacing menghampiri gajah kerana tidak sampai hati melihat gajah yang menderita kesakitan.

"Ambillah kedua-dua belah mataku," kata raja cacing lalu memberi sepasang matanya kepada gajah.

Setelah menderma matanya kepada raja rimba itu, cacing pun kembali ke dalam tanah sambil berkata kepada anaknya, "Jika kita mempunyai kelebihan, gunakanlah kelebihan itu dengan bijaksana."

Sejak hari itu, gajah dapat melihat semula kerana masih ada binatang lain yang bersimpati dengan nasibnya. Namun, gajah yang berbadan besar dan gagah itu kini mempunyai mata yang kecil kerana mata itu adalah milik cacing pada asalnya.

0 ulasan: